CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, November 26, 2008

Bimbang Tebing Runtuh

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Masalah hakisan sehingga menyebabkan keretakan pada tebing dinding rumah serta rekahan pada tebing longkang semakin membimbangkan penduduk Kampung Cheras Baru di sini.
Sejak kebelakangan ini, faktor cuaca menyebabkan masalah hakisan itu semakin teruk berikutan keadaan longkang terbabit yang sempit dan tidak mampu menampung aliran air yang banyak ketika hujan.
Keadaan itu menyebabkan air itu melimpah dan seterusnya mengakibatkan hakisan pada tebing longkang berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung tersebut mendapati, hampir kebanyakan longkang di kawasan terbabit mempunyai kesan hakisan.
Seorang penduduk yang ditemui, Yue Voon Seng, 39, berkata, rumah tersebut dibeli kakaknya sejak 10 tahun lepas, namun sejak beberapa bulan lalu, dia mengsan keretakan pada dinding rumahnya dan juga tebing longkang.
Katanya, keretakan pada longkang itu pula semakin membesar sehingga menyebabkan batu-batu mula jatuh ke dalamnya.
Jelasnya, sebelum ini, dia ada melaporkan masalah itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi tiada tindakan diambil setakat ini.
"Keadaan longkang ini amat membimbangkan saya tetapi tiada tindakan diambil oleh DBKL, jadi saya buat aduan kepada MCA Bahagian Cheras pula.
"Tambahan pula, sekarang musim hujan, jadi saya sangat bimbang sekiranya tebing dinding tersebut akan runtuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Dua, Kampung Cheras Baru.
Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Rajesh, 34, memberitahu, sebelum ini DBKL pernah membaiki struktur longkang terbabit namun beberapa bulan selepas itu ia terhakis semula.
"Saya percaya hakisan ini berpunca daripada keadaan longkang tersebut yang sempit sehinggakan tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak.
"Selain itu, kawasan ini agak bercerun menyebabkan aliran air sangat deras ketika hujan dan melonggarkan batu pada tebing longkang sehingga ia pecah.
"Saya harap DBKL dapat melihat melihat perkara ini dan membaikinya dengan segera," jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha MCA Bahagian Cheras, Dr. Jeffrey Goh berkata, masalah tersebut bukanlah yang pertama berlaku di kawasan berkenaan kerana kawasan perumahan itu adalah kawasan kampung lama.
Katanya, memandangkan kawasan tersebut telah wujud sejak 45 tahun yang lalu, kebanyakan longkang-longkangnya telah berusia hampir 30 tahun dan strukturnya telah uzur.
Jelasnya, kebanyakan longkang yang terdapat di sekitar kawasan kampung itu sangat kecil serta tidak mampu menampung aliran air yang deras ketika hujan.
Jeffrey menambah, DBKL perlu memantau keadaan longkang di sekitar kawasan berkenaan bagi memastikan longkang-longkang di kawasan terbabit tidak terhakis akibat hujan sehingga menyebabkan tebing runtuh.
Beliau juga berharap DBKL mempunyai peruntukan khas untuk membaiki keadaan longkang berkenaan dengan segera.
Dalam pada itu, wakil Jabatan Kerja Awam DBKL memaklumkan bahawa beliau akan segera membuat laporan mengenai masalah itu dengan segera supaya kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan secepat mungkin.


Disediakan oleh Siti Airunnisa Alaui
Sumber: Utusan Malaysia

0 comments: